Sabtu, 21 Jun 2008

malaysia di tuduh negara penganiaya

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menolak keputusan Kaji Selidik Mengenai Pelarian Dunia 2008 yang meletakkan Malaysia sebagai antara negara paling teruk mencabuli hak pelarian.

Beliau yang tidak bersetuju dengan laporan itu menegaskan, Malaysia telah mengambil pendekatan yang berhemah dalam menangani masalah pelarian.

''Kita perlu mengimbangi perkara ini dan tidak boleh membuka seluas-luasnya pintu masuk kerana jika dilakukan kita akan berhadapan dengan masalah serius.

''Pada masa ini pun kita sedang menghadapi masalah pendatang tanpa izin di Sabah. Anda mahu Malaysia menjadi 'terbuka' yang bagaimana?," katanya ketika mengulas laporan Jawatankuasa Bagi Pelarian dan Pendatang Amerika Syarikat (USCRI) yang disiarkan sempena sambutan Hari Pelarian Sedunia semalam.

Dalam Kajian Pelarian Sedunia 2008 itu, USCRI, iaitu sebuah badan bukan kerajaan, turut meletakkan China, India, Thailand dan Bangladesh, Iraq, Kenya, Rusia, Sudan dan Eropah dalam kategori yang sama.

Mengulas pengakuan seorang rakyat Pakistan mengeksport secara haram alat ganti pesawat F-5 dan F-15 ke Malaysia, Najib berkata, sehingga kini pihak berkuasa tidak mengetahui adanya urusniaga seperti itu.

''Yang pasti tiada urusan dengan kerajaan kerana kita sebenarnya tidak mengetahui urusniaga seperti itu wujud. Saya tidak tahu jika ia ada melibatkan syarikat swasta," katanya.

Najib yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun memberi jaminan kerajaan tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas ke atas syarikat yang terlibat dalam urus niaga haram itu.

Tiada ulasan: