
MARVEL Comics sememangnya cukup bertuah kerana seringkali komik keluaran mereka diadaptasi ke filem akan mencatatkan kejayaan yang cukup membanggakan dan luar biasa.
Tahun ini sahaja, dua filem mereka iaitu Iron Man dan The Incredible Hulk berjaya mencatatkan kejayaan di luar dugaan.
Iron Man misalnya, sehingga kini masih lagi ditayangkan dan kutipan tiketnya juga akan mencecah AS$300 juta (RM960 juta).
Malah, filem tersebut juga masih lagi bertahan dalam senarai Top 10 kutipan filem terlaris di Amerika Syarikat.
Begitu juga dengan The Incredible Hulk yang berjaya mencatatkan kutipan hujung minggu pada minggu pertama tayangannya dengan jumlah kutipan sebanyak AS$55 juta (RM176 juta).
Kejayaan tersebut mampu dilangsungkan apabila sebuah lagi komik Marvel iaitu Captain America kini sedang rancak di dalam pembikinan.
Apa yang menariknya, dua pelakon Gred A Hollywood iaitu Leonardo DiCaprio dan Brad Pitt menjadi pilihan mereka untuk memegang watak adi hero itu.
Marvel dikatakan mahu Leonardo memegang watak berkenaan kerana watak Captain Amerika atau alter egonya, Steve Rogers itu amat bersesuaian dengan karakter dan karisma Leonardo.
Begitu juga dengan Brad yang dikatakan menjadi pilihan kedua Marvel seandainya Leonardo menolak watak tersebut. Sebelum ini, Brad merupakan pilihan Marvel untuk memegang watak dalam sebuah lagi filem adi hero berjudul Thor.
Sehingga kini, pihak Marvel terus mengambil sikap berdiam diri. Malah, mereka tidak menafikan mahupun mengesahkan berita ini. Sejauh mana perkembangannya kelak, sama-sama kita nantikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan