Ahad, 20 April 2008

sudah tiada jodoh


Dunia hiburan tentu sekali tidak sunyi dengan percintaan artis yang bagai nak rak. Kemudian dimeriahkan lagi dengan majlis pertunangan dan perkahwinan yang penuh warna warni.
Tapi yang sedihnya, selepas semua itu berlalu, yang tak diingini pula berkunjung tiba. Perkahwinan artis pada hari ini banyak yang teruji. Mereka yang bahagia tiba-tiba diduga dengan kehadiran orang ketiga.
Ditambah pula apabila ada artis yang mendakwa rumah tangga diganggu oleh rakan-rakan sendiri. Dan yang paling menyedihkan apabila perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka itu bertukar menjadi sebaliknya dan tidak mampu bertahan lama.
Mungkin ramai yang susah hendak mempercayai perkahwinan artis pada hari ini. Tetapi jangan pula menyangka perkahwinan yang tidak kekal itu hanya berlaku kepada artis. Ia juga terjadi kepada orang biasa cuma tidak dibicarakan di dalam media.
Merungkai kisah perkahwinan singkat di kalangan artis, Datin Natasha Hudson hanya mampu mempertahankan perkahwinannya dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih selama empat bulan sahaja. Tanpa mahu mengulas punca penceraian itu tetapi Natasha membuat pengakuan berani mengenai kegagalan rumah tangganya.
Selepas diuji dengan kekecewaan itu, dia dipertemukan dengan ahli perniagaan iaitu Datuk Shahrin Zahari tidak beberapa lama selepas kejadian berkenaan.
Selepas menjalinkan perkenalan itu, mereka akhirnya mendirikan rumah tangga pada tahun lalu di Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur.
Selesai kes Natasha, timbul pula cerita Beego yang menghadapi kekecewaan terhadap rumah tangganya. Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah,29, berkahwin dengan Shahira Mohd. Shahru atau Intan,27, pada 28 Disember 2007.
Malangnya hubungan mereka menjadi retak selepas sebulan mendirikan rumah tangga.
"Saya cuba menyelesaikan masalah ini," kata Beego. Dan sekarang Beego dan Intan tinggal berasingan buat sementara waktu sementara menanti kes mereka dapat diselesaikan di mahkamah.
Mengimbas majlis perkahwinan mereka, ia diadakan penuh meriah kerana Beego dan Intan masing-masing anak pertama dalam keluarga. Tapi apa boleh buat sudah hidup mereka diuji sebegitu rupa, kedua-duanya pasrah.

Tiada ulasan: