
MUMBAI 30 Nov. - Seorang aktor Britain yang berlakon sebagai pengebom berani mati dalam sebuah filem dokumentari televisyen di London, terselamat dalam serangan kumpulan militan di bandar ini, pada Rabu lalu.
Joey Jeetun, 31, bagaimanapun telah ditahan oleh polis kerana disyaki suspek dalam serangan tersebut.
Dia ditahan selama 13 jam di dalam sebuah lokap bersama-sama sekumpulan lelaki berketurunan Arab.
Jeetun memegang watak sebagai Shehzad Tanweer dalam filem dokumentari 7/7: Attack on London.
Ketika serangan kumpulan militan itu, dia berada di Cafe Leopold berhampiran Hotel Taj Mahal, lokasi popular di kalangan pelancong di bandar raya ini, yang merupakan salah satu sasaran serangan.
"Saya ketakutan, keliru dan tidak keruan. Sebagai aktor, anda boleh melakonkan pelbagai watak, tetapi ia bukan lakonan, tetapi kejadian sebenar," katanya kepada CNN.
Dalam satu temu bual dengan akhbar Times, London pula, Jeetun berkata, dia terselamat dalam serangan itu selepas kumpulan militan menganggap dia telah mati kerana badannya dipenuhi darah mangsa yang terkorban.
"Saya membuka mata selepas kira-kira lima minit (serangan) tamat. Terdapat banyak mayat di sebelah saya. Mereka mati ditembak di kepala," katanya.
Katanya, dia kemudiannya ditahan oleh polis kerana disyaki suspek dalam serangan tersebut.
"Mereka menyangka saya suspek, walaupun saya menyatakan saya seorang pelancong warga Britain," katanya kepada akhbar Daily Telegraph.
Menurut laman web aktor itu, ibu Jeetun berasal dari Kepulauan Mauritius, tetapi beliau dilahir dan dibesarkan di London.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan