KUALA LUMPUR 10 Julai - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hanya akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan jemaah menteri beliau yang dikemukakan oleh pakatan pembangkang pada Isnin ini.
Menurutnya, beliau mempunyai pilihan untuk menolak usul itu yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18 (2) ketika dalam kamarnya dengan mengemukakan alasan penolakan melalui sepucuk surat.
Beliau juga boleh menggunakan Peraturan Mesyuarat 14 untuk mengumumkan secara rasmi keputusan menerima atau menolak usul selepas sesi soal jawab Dewan pada pukul 11.30 pagi.
''Jika mengikut pilihan kedua ini saya akan benarkan untuk dibacakan usul ini (oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) di dalam Dewan Rakyat sebelum saya membuat keputusan.
''Usul itu datang pada petang ini, jadi esok memang tak ada persidangan. Saya perlu pulang ke Kota Kinabalu dan fikir secara mendalam pada hujung minggu dan anda (wartawan) akan mengetahui jawapannya pada Isnin," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan diiring wakil DAP dan Pas menyerahkan usul kepada Pandikar Amin di pejabatnya kira-kira pukul 3.35 petang ini.
Mengikut Peraturan Mesyuarat, usul sedemikian yang diserahkan pada sebelah pagi perlu dibuat keputusan oleh Yang Dipertua pada keesokan harinya kecuali jika tiada persidangan.
Jelas beliau, usul itu tidak akan melibatkan sebarang pengundian sebaliknya hanya perbahasan dibenarkan.
Ditanya apakah faedah usul itu dikemukakan jika tiada pengundian bagi menentukan siapakah di kalangan 140 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan 82 pembangkang yang menyokongnya, beliau berkata, perkara itu seharusnya ditanya kepada Ketua Pembangkang.
''Saya pun tidak tahu jawapannya. Awak (pemberita) yang sepatutnya memberitahu saya kerana bertuah menghadiri sidang akhbar Ketua Pembangkang. Awak sendiri fikir dan buat latihan minda sedikit," ujarnya.
Pandikar Amin turut menegaskan bahawa beliau tidak berasa tertekan dalam membuat keputusan berhubung usul itu.
''Buat apa pula saya hendak rasa tertekan, saya akan menggunakan kuasa yang diberikan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan. Awal-awal sudah disebut, saya bukan orang politik, saya Speaker Dewan Rakyat," katanya.
Sementara itu, Wan Azizah yang ditemui pemberita berkata, beliau berharap Pandikar Amin akan meluluskan usul yang hendak dibawa mereka.
Katanya, usul itu penting kerana perkembangan semasa mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan Kabinet beliau.
''Kami yakin Dewan yang mulia ini wajar membincangkan usul yang dikemukakan ini," ujarnya.
Usul yang hendak dibawa itu ialah:
''Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urusan tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan."
Isnin, 14 Julai 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan