
DI kalangan teman-teman sebayanya, sudah ramai yang menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihan hati.
Namun, dia masih lagi bersendirian menjalani kehidupan yang masih sama pada pandangan mata kasar orang ramai.
Barangkali juga, sudah penat melayan pertanyaan yang bukan sahaja di kalangan ahli keluarga bahkan juga teman-teman di sekeliling.
Itulah harganya bagi mereka yang belum menemui jodoh. Apatah lagi bagi wanita popular seperti satu-satunya penyanyi rock wanita yang disegani ramai, Ella.
Pada usia yang bakal menginjak 42 tahun, Ella secara peribadi sebetulnya, sudah penat dan sesekali tiada upaya untuk menjawab bila pula gilirannya untuk naik pelamin.Ella punya segala-galanya - kecantikan, populariti, pengaruh dan kekayaan. Namun, hanya satu yang terus didambakannya, lelaki yang boleh menjadi teman hidupnya.
Sudah beberapa musim percintaan dilaluinya, sayang sekali semuanya tidak bertahan lama.
Dan Hits mewakili sebilangan besar peminat-peminatnya menyuarakan hal yang sama dengan harapan artis yang pernah mencetus fenomena dengan alunan lagu-lagu rocknya tidak berkecil hati.Mujur, Ella seorang yang rasional. Bagai sudah mengerti apa yang sarat di fikiran, soalan ‘cepumas’ mengenai rahsia peribadi dijawab penuh jujur.
Siapa yang tidak mahu berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Semua orang mempunyai keinginan untuk berkeluarga cuma kita kena fikirkan perkahwinan ini bukan satu perkara yang main-main.
“Kena fikir banyak kali sebelum kita berkahwin. Jangan ikut orang nak kahwin kita pun nak kahwin. Saya kena fikir yang terbaik untuk diri saya, sebab saya tak mahu kahwin dan cerai di kemudian hari," katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar Noorzila Aminuddin mengakui, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.
“Masa akan menentukan segala-galanya. Kalau ada jodoh tak ke mana. Apa yang boleh saya katakan sekarang saya berkawan dengan ramai orang.
“Tapi saya harap semua orang akan membuka minda dan tak memikirkan sesuatu yang negatif pada orang-orang yang tidak berkahwin.
“Janganlah fikir yang bukan-bukan dan membuat bermacam-macam spekulasi mengenai kenalan-kenalan saya,” ujar artis yang sudah lebih dua dekad mengharungi kehidupan sebagai anak seni itu lagi.
Barangkali juga, enggan fikirannya dibebani dengan isu perkahwinan juga, Ella lebih senang mengalih perbualan mengenai penerokaan barunya dalam lapangan perniagaan.
Produk kecantikan yang diasaskannya, Beauty That Rocks mendapat sambutan di luar dugaan.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap produk saya ini makin lama makin memberangsangkan. Saya akan pastikan turun padang untuk bertemu bersama agen dan pembeli,” kata Ella bercerita mengenai produk kecantikan yang menjadi kebanggaannya.
Strategi pemasaran sedemikian jelas bekas vokalis kumpulan The Boys itu merupakan pendekatan paling penting untuk memastikan para pembeli produk berkenaan berasa dihargai.
“Saya rasa lebih jujur apabila kita berpeluang untuk bertemu dengan mereka. Walaupun penat tapi saya akan pastikan saya mempunyai masa untuk diluangkan bersama mereka,” katanya menyambung perbualan.
Justeru, fokus penyanyi dan usahawan ternama ini buat masa sekarang ialah pada produk kecantikan itu.
“Ini masa depan saya dan pasti saya mahu memastikan ia berjalan dengan lancar dan baik. Saya tak mahu sekadar separuh jalan sahaja atau membiarkannya hanyut. Saya mahu produk saya ini kekal di pasaran dan diterima oleh khalayak semua,” ikrar Ella lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan